Dari Kota Kinabalu ke Kundasang

by mymiee.blogspot.my

Trip 1 - Rumah Terbalik dan Jambatan Gantung Tamparuli

Kali terakhir jejakkan kaki di Kota Kinabalu ialah kira-kira lapan tahun yang lalu. Masa tu AA mendarat dan beroperasi di T2 KKIA. Sekarang ni semuanya dah disepadukan di T1. Berlepas dan mendarat mengikut jadual. Risau juga kerana masa tu banyak penerbangan terutamanya yang ke selatan negara China dan Hong Kong yang dibatalkan kerana taufan Nida melanda kawasan tersebut. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Cuma pada waktu balik penerbangan kami di lewatkan tiga jam dan mendarat di KLIA2 pada jam 2.30 pagi.

KK seakan terkesan dengan cuaca kurang baik yang melanda kawasan Laut China Selatan. Boleh dikatakan setiap pagi dan petang hujan turun berbanding di semenanjung yang panas sejak seminggu dua ini.


KK, kami datang lagi.



Kereta sewa yang digunakan sepanjang 4H3M di Sabah. Boleh hubungi encik Amirul Afendi (HP : 0145585158) untuk mendapatkan sebutharga.

Lepas dapat kereta, kami terus je bergerak meninggalkan KK untuk ke Kundasang. Cuti pun cuma 4H3M jadi bercadang nak menginap di kawasan yang nyaman untuk dua malam dan semalam di KK. Perhentian pertama kami ialah di Rumah Terbalik yang terletak di Jalan Telibong, Batu 21 Tamparuli, Tuaran.


Masuk ke sini mengikut satu kumpulan kecil dan dengan seorang jurupandu untuk memberikan info tentang rumah berkenaan. Pemilik rumah ini ialah pasangan suami isteri berketurunan Sino-Kadazan dan Bajau dan pernah bertugas di Johor. Semua peralatan dalam rumah ini adalah bersesuaian dengan suasana tahun 90an.


Kereta tergantung ini adalah kereta milik tuan rumah yang di bawa dari Johor. Nasib baik tak JDT...






Restoran Mango Garden terletak di laluan keluar selepas kedai cenderamata. Cadang nak makan tengah hari di sini sebab ada orang kata sedap makanannya tapi tutuplah pulak.

Tak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Dalam setengah jam dah boleh selesai semuanya. Perjalanan diteruskan untuk ke Pekan Tamparuli. Tarikan utama kat sini ialah jambatan gantungnya. Jambatan ini digunakan pejalan kaki untuk menyeberangi sungai sebab jambatan yang ada adalah untuk laluan kenderaan. Jambatannya agak sempit dan hanya boleh dilalui kenderaan secara sehala pada satu-satu masa.


Cuaca dah mula gelap pada waktu ini. Makan tengah hari belum lagi dan Kundasang pun masih jauh lagi. Jadi kami berhenti di Pekan Nabalu, sebuah pekan kecil di dalam daerah Kota Belud. Ada beberapa buah restoran muslim di pekan ini. Satu perkara yang buat kami kurang selesa ialah banyak sangat anjing berkeliaran di pekan ini. Mula-mula rasa macam tak jadi nak makan di sini tapi hari dah agak lewat. Kalau biasanya kita makan yang datang mengendeng adalah kucing tapi kat sini anjing. Terpaksa minta tuan punya kedai untuk menghalau anjing-anjing tu.


Trip 2 - Desa Cattle Dairy Farm, Kundasang

Di Kundasang ni terasa cepat sangat siangnya. Sementara menunggu breakfast pada jam tujuh pagi, kami bergerak ke pekan Kundasang untuk menikmati pemandangan Gunung Kinabalu dari sana. Ramai orang cakap kalau nak tengok gunung Kinabalu tanpa dilindungi awan, kenalah datang awal pagi.


Kami balik semula ke chalet untuk bersarapan. Bangunan chalet di sini kedudukannya terasing-asing kerana terletak di kawasan berbukit. Tempat makan berada di tengah-tengahnya. Tak banyak pilihan makanan yang disediakan. Selain mee dan nasi goreng, ada juga roti bakar.


Sarapan kami yang ringkas tapi mengenyangkan. Alhamdulillah...



Musim bunga di Mile 36 Lodge.



Banyak bunga senduduk ungu kat sini.

Lepas sarapan kami bergerak ke Desa Dairy Farm yang terletak di Kampung Mesilau, Kundasang. Boleh lah perasan macam berada di New Zealand kalau di sini. Tapi udara pagi di sini tak berapa sejuk seperti di Cameron Highlands. Boleh pakai baju biasa, tak perlu baju sejuk bagai.


Hujan dah mula turun. Payung pun terlupa nak bawa. Padahal ada banyak disediakan kat chalet. Sampai di War Memorial Park hujan semakin lebat. Kami tak jadi masuk dan teruskan perjalanan ke Poring Hot Spring.

Sabah Trip 3 - Poring Hot Spring, Ranau

Sampai di depan pintu masuk Kundasang War Memorial hujan semakin lebat. Kami tak jadi masuk. Tapi ada juga orang yang meredah masuk. Nampak macam orang setempat. Betul-betul di depan pintu masuknya ada semacam pasar pagi. Nampak macam sendu je sebab tak ramai orang. Jadi kami ambil keputusan untuk terus ke Poring Hot Spring yang terletak 33 km dari Kundasang.


Kundasang War Memorial.


Sampai di Poring Hot Spring lebih kurang setengah jam kemudian. Elok pulak cuaca di sini. Orang agak ramai di sini terutama pelancung dari negara Korea dan China. Ini disebabkan adanya penerbangan terus dari sana ke Kota Kinabalu. AA belum ada penerbangan terus ke Korea tapi ada syarikat penerbangan dari Korea terbang ke KK iaitu Jin Air.


Ada beberapa tempat mandi yang disediakan di sini. Tempat mandi air panas terbuka adalah percuma. Ada juga yang berbayar. Yang ini lebih privasi kerana terletak di dalam pondok khas. Selain itu ada juga kolam mandi biasa yang di panggil rock pool. Pilih saja mana yang berkenan di hati. Tapi tak ada siapa pun yang nak mandi, jadi perjalanan diteruskan masuk ke dalam hutan.


Sabah Trip 4 - Tagal Ikan Sungai Moroli dan Sabah Tea Farm

Keluar dari kawasan Poring Hotspring kami menuju ke Kampung Luanti Baru untuk ke 'tagal' Sungai Moroli yang terletak kira-kira 18 km dari sini. Sangat teruja untuk ke sini kerana ingin merasai spa ikan yang tinggal di habitat asalnya. Ikannya pun besar-besar. Bayaran masuk cuma RM5 untuk dewasa.




Tempat letak kenderaan agak terhad di sini, jadi pandai-pandailah mana nak parking. Tempat jual tiket masuk ada berhampiran jalan utama. Beli tiket dulu sebelum bawa kenderaan ke kawasan berhampiran sungai. Sepanjang jalan masuk banyak gerai menjual makanan ringan dan gorengan, Yang paling best semuanya murah-murah. Seringgit boleh dapat tujuh ketul pisang goreng.

Ada kawasan menunggu berhampiran tepi sungai. Tukarkan tiket di sini untuk mendapatkan nombor kumpulan. Kita akan dipanggil masuk ke kawasan sungai mengikut nombor kumpulan yang diberi. Dalam sesuatu masa ada beberapa kumpulan yang dibenarkan masuk. Masa yang diberikan ialah lima belas minit. Cukup masa nombor kumpulan akan dipanggil. Tapi kalau kita buat berlengah-lengah dia orang pun tak perasan sebenarnya. Slumberland je kita orang kat situ sampai hampir setengah jam.


Ada beberapa spesis ikan di sini. Yang paling banyak ialah ikan Pelian, sejenis ikan kap bersisik besar. Ada juga terselit seekor dua ikan keli yang agak besar. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter tapi terhad satu pek kecil untuk setiap orang. Takut terkenyang ikan-ikan tu agaknya.

Ikan Pelian ni tak ada gigi, jadi agak selesa bila ikan tu menyedut. Kekadang bila kita beri makanan, jari kita pun boleh tersedut masuk dalam mulut ikan. Di sini ada juga beberapa spesis ikan lain yang bersaiz lebih kecil berwarna putih. Ikan-ikan ini suka mengigit dan agak terasa sakitnya.


Selesai di tagal Sungai Moroli kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu ke ladang teh Sabah yang terletak satu kilometer dari sini. Satu-satunya ladang teh organik yang ada di Borneo. Ladang ini dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Ada juga di sediakan bilik-bilik penginapan bagi yang ingin bermalam di sini.


Teruskan membaca Trip 5 - 8

Penulis : mymiee.blogspot.my