Cuti-Cuti Pulau Redang

by c-ty83.blogspot.my

Klik di sini untuk Artikel asal

Cuti panjang sempena Merdeka yang lepas kami ke Pulau Redang. Walaupun dah lama merancang, dan memujuk keluarga sana-sini untuk ikut sama tapi takde sambutan, akhirnya kami cuma dapat buat keputusan untuk pergi berdua seminggu sebelum 31 Ogos. Disebabkan cuti umum, kebanyakan agen yang dihubungi memberikan jawapan mengecewakan. Tapi bak kata orang 'usaha tangga kejayaan' akhirnya kami dapat juga tempat (satu-satunya yang tinggal kata pemilik chalet) di Redang Lagoon. Pakej sempena cuti umum berharga RM340.00 seorang, campur GST kami kena bayar RM720 untuk pakej 3 hari 2 malam bagi 2 orang. Harga pakej termasuk penginapan, makan lima kali sehari, BBQ, snorkeling 3 kali, dan tiket feri pergi dan balik. Goggle dan life jacket kena sewa berasingan.

Kami bertolak dari Kuala Lumpur selepas solat Isya' hari Khamis, dan tiba di rumah kakak ipar di Seberang Takir jam 4.00 pagi lebih kurang. Kalau nak ikutkan perjalanan takdelah selama tu, tapi disebabkan kami asik berhenti tidur yang lama, itu yang tak sampai-sampai. Esoknya, lepas sarapan pagi, kami bertolak ke Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu. Feri pagi itu jam 9.30am. Sewaktu tiba, kami diberitahu oleh petugas kaunter yang nama kami tiada dalam senarai, tapi lepas menghubungi pihak chalet baru mereka mengesahkan nama kami memang ada. Pihak chalet lupa faks nama ke apa entah tak tau.

Perjalanan menaiki feri mengambil masa lebih kurang 2 jam. Saya tidur dengan nyenyak, bangun, dan tidur balik pun tak sampai-sampai lagi. ;-)

Ni keadaan dalam feri, tingkat atas. (Rambut sapa la jadi mangsa kamera ni ;-/) Kebetulan kami lewat sebab tersangkut kat kaunter tiket tadi, jadi terus ke tingkat atas. Orang kata kalau kat bawah kemungkinan untuk pening dan muntah lebih tinggi, wallahua'lam.


Disebabkan takde jeti di kawasan chalet, feri berhenti sekerat jalan dan kami kena bertukar naik bot yang besar. Sebelum sampai saya bayangkan bot kecil yang kami kena singsing seluar bila sampai tepi pantai, rupanya bot besar yang ada pelantar (nama apa entah benda alah tu, yang penting sampai tepi kita lalu situ terus turun kat pasir, bukan atas air).

Tu la rupa bot yang datang jemput kami kat laut.

Sampai kat tepi pantai tu, ada banyak trak dari resort-resort berhampiran yang menunggu pelanggan chalet masing-masing. Cari punya cari tak jumpa trak Redang Lagoon, jadi kami ambil keputusan jalan kaki. Tak jauh mana pun. Sempat excited bukak selipar, amik feel pasir yang halus. ;-) Sampai chalet, kami terus ke kaunter check-in, tapi sedikit geram juga waktu check-in staf di kaunter minta bukti kami dah bayar deposit. (Bebel dalam hati kejap, '"diorang ni takde rekod ke?"). Kami minta bilik yang menghadap laut, tapi dah penuh. Tapi dapat juga bilik dua tingkat berdekatan laut. Buka pintu belakang nampak juga laut.

Pasir pantai putih, lembut macam tepung. Subhanallah... Masya-Allah..


Suasana sekitar Redang Lagoon. Lokasinya memang sangat strategik sebab betul-betul berdepan dengan pantai. Tidur sambil dengar deruan ombak. Cuma perkhidmatannya agak kurang memuaskan. Waktu kami sampai, bilik berpasir, cadar berkecamuk, bilik air kurang bersih. Tapi untuk harga pakej yang boleh dikatakan rendah berbanding chalet lain, tak bolehlah komen lebih-lebih sangat kan?


Ini antara tarikan Redang Lagoon juga. Sangat banyak buaian untuk bersantai-santai depan laut.


Best kan? Pantai di sini sangat landai, dah jauh ke tengah pun cetek lagi.




Ni bilik yang kami dapat - tingkat atas. Tingkat bawah ada satu katil Queen dan aircond. Tingkat atas pakai kipas. Disebabkan bilik ni sangat basic, takde almari, kerusi, meja bagai, yang ada cuma katil je, jadi kami jadikan tingkat bawah sebagai tempat letak barang, tidur kat atas. Lagi pun privacy sikit. Tidur kat bawah dengar sebijik-sebijik orang sebelah buat apa. ;-)


Ni tempat makan. Makanan yang dihidangkan boleh dikatakan sedap dan pelbagai.

Hari pertama kami dihabiskan dengan tidur dan bergambar. Gigih posing berdua sebelum jadi legam bila dah lama kena terik mentari pantai. Pukul 6 lebih bila dah sedikit redup Encik Suami ajak mandi laut. Walaupun dulu-dulu saya tak suka mandi laut ke, sungai ke, sebab ramai orang, tapi disebabkan kesian dia takde geng saya ikutkan juga. Sambil jalan dalam air tu ikan pusing-pusing berenang keliling. Tengok orang bagi makan roti punya banyak ikan datang, kami pun semangat nak pi beli roti. Hihi..

****************

Hari kedua kami dimulakan dengan aktiviti bergambar selepas sarapan pagi. Lepas tu cari kedai runcit sebab nak beli roti bagi makan ikan.


Kedai runcit ni kat chalet sebelah. Kalau tertinggal apa-apa bolehlah ke sini untuk beli barang-barang asas


Lebih kurang pukul 9.30am kami ke Marine Park untuk snorkeling melihat ikan-ikan. Perjalanan dari Pulau Redang ke Marine Park mengambil masa kurang dari satu jam.



Ini Marine Park.

Disebabkan Redang takde jeti, dan air pasang waktu pagi kami terpaksa meredah air agak jauh untuk naik bot ke Marine Park. Sampai satu tahap, orang yang tak cukup tinggi macam saya dah terapung-apung tak jejak pasir tapi tak sampai jugak lagi ke bot. Kalau bawa orang tua atau yang berbadan sangat besar agak kesian sebab bot tu agak tinggi untuk dipanjat. Tapi nak kata tak boleh langsung pun tak logik, sebab ada beberapa orang yang bawak baby untuk ke Marine Park ni. Selamat je sampai. Saya je yang cuak tengok cane dia nak panjat bot. Apa pun petugas chalet sangat banyak membantu.


Air masih tenang sebelum diredah manusia-manusia yang gigih nak tengok ikan. Kami diberi masa satu jam di sini.



Sangat jernih kan air dia? Tali yang warna putih tu penanda supaya orang-orang yang snorkeling tak melebihi kawasan tersebut. Kalau tengok air yang berwarna agak gelap tu ada banyak coral di situ. Tapi macam biasa saya penakut, jadi snorkeling kat tepi-tepi je. Tu pun dah bahagia tengok ikan colourful. Ini pengalaman pertama saya snorkeling. Tu pun sebab kena paksa. Mula-mula tu macam nak muntah masuk getah untuk bernafas tu dalam mulut. Lama-lama seronok pulak. Haha..

Balik dari snorkeling, lepas makan tengahari, solat dan berehat kami merayau-rayau cari souvenir, ambil gambar lagi, minum air kelapa dan mandi laut lagi.



Kebanyakan chalet di sini ada kedai souvenir sendiri, kecuali Redang Lagoon. Kalau nak cari souvenir yang bertulis Pulau Redang kena beli di pulau sahaja. Balik ke tanah besar tak jumpa dah.



Pakcik jual air kelapa ni kata ada je aktiviti lain boleh buat di Pulau Redang ni selain mandi laut. Kalau nak jungle trekking pun boleh. Tapi bila kami tanyakan pada owner chalet macamana nak jungle trekking dia jawab kena naik bot ke kampung lain. Bila tanya mana nak dapat bot dia suruh cari di tepi pantai. Konfius pulak tak tau mana nak cari. Lagi pun memang tak bawa kelengkapan yang sesuai. Insya-Allah lain kali.

Malam tu lepas makan malam kami habiskan masa dengan berjalan kaki ke Laguna Redang (hotel mahal) minum teh tarik secawan RM4.50. Sempat berborak dengan pelancong dari German yang menggelar Redang sebagai syurga. Dan sempat juga makan burger tepi laut sebelum baring-baring di buaian dan terlena sekejap. Haha..

******************

Hari terakhir jam 9.30am dah kena check out walaupun feri cuma datang jam 11.00am. Kami check-out awal tapi tak ikut orang lain naik trak untuk ke tempat berkumpul. Disebabkan jarak Redang Lagoon dengan feri tak jauh kami duduk je di situ sambil tunggu feri datang. Nampak bot bergerak nak amik penumpang untuk ke feri baru kami berlari-lari. Hihi..


Gambar sekitar pantai dari depan Redang Lagoon.



Inilah hasilnya tunggu feri lama-lama. Gambar feeling-feeling tepi pantai pakai tripod sambil diperhatikan oleh seorang aunty yang kemudiannya tepuk tangan gembira tengok kami syok sendiri. Kikiki.

Sekian percutian 3 hari 2 malam kami. Feri tiba di Kuala Terengganu jam satu tengahari.


Gambar sekitar pantai dari depan Redang Lagoon.

Nak jugak masukkan gambar ni. Tengahari buta dengan matahari tegak memancar di atas kepala, disebabkan anak buah datang lambat untuk ambil kami di Jeti Shahbandar, dan kami konon-konon nak berdikari dan nak makan berdekatan dengan Stesyen Bas Kuala Terengganu, akhirnya kami tersesat berjalan kaki entah ke mana-mana. Berpinar ooo jalan kaki panas-panas 'jepret'. ;-)

Penulis : c-ty83.blogspot.my